• English
  • Bahasa Melayu

Kuala Lumpur: Koperasi The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dengan kerjasama Angakatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mengadakan Kejohanan Go-Kart Koperasi –  ANGKASA bersempena Persidangan Global Perikatan Koperasi Antarabangsa Kuala Lumpur 2017.

Program pada 23 September ini akan berlangsung di Litar Go-Kart Shah Alam. Pengerusi Koperasi NSTP, Mohd Fadzil Abd Ghani, berkata penganjuran acara pada kali ketiga ini bertujuan mengeratkan hubungan antara ahli koperasi, selain menggalakkan pembabitan orang muda dalam sukan lasak.

“Acara sukan lasak sudah memasuki tahun ketiga ini diharapkan dapat merapatkan hubungan antara koperator tempatan, rantau Asia dari antarabangsa. Dengan penganjuran acara sukan seperti ini diharapkan dapat menjadi contoh kepada koperasi lain dalam meningkatkan taraf ekonomi ahli koperasi yang ada di Malaysia,”katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kejohanan Go-Kart Koperasi – ANGKASA  di Balai Berita.

Yang lain turut hadir, Naib Presiden ANGKASA , Datuk Kamarudin Ismail; Setiausaha Koperasi NSTP, Zulfakar Wahib; Pengurus Besar Komunikasi Korporat ANGKASA, Borhan Mat Aris; Timbalan Pengurus Kanan, Komunikasi Korporat Kumpulan, UEM Group Berhad, Juliana Jamaluddin dan Pengarah Perniagaan Koperasi Etiqa Takaful Berhad, Mohammad Assri Husin.

ANGKASA penaja utama. Sementara itu, Timbalan Presiden ANGKASA , Murthado Bahri, berkata ANGKASA sebagai penaja utama sumbang RM 30,000.00 bagi menjayakan acara terbabit.

“Terdapat tiga kategori penyertaan , iaitu kategori lelaki heavyweight membabitkan individu beratnya 70 kilogram (kg), kategori lelaki lightweight membabitkan peserta yang beratnya 70kg ke atas dan kategori terbuka wanita.

“Bagi penyertaan ini, peserta yang terbabit bukan sahaja dari koperasi tempatan malah terbuka kepada koperasi peringkat Asia,” katanya.

Selain ANGKASA, koperasi lain yang turut memberi sumbangan penajaan ialah Rakyat Management Services Sdn Bhd, United Engineer Malaysia Group Berhad, Koperasi Perdanajaya Malaysia Berhad dan Etiqa Takaful Berhad.

 

 …